Terma dan Syarat Pengesahan Perkhidmatan Kewangan G2RS (T&C Malay)
Terakhir dikemas kini:
19hb Februari, 20226
PENGENALAN
Terma dan syarat berikut menerangkan hubungan antara G2 Web Services, Inc. (“G2”, “kami” atau “kita”) dan pihak yang mengemukakan Permohonan Pengesahan Perkhidmatan Kewangan G2 (“Permohonan”) bagi tujuan menentukan kelayakan untuk pengiklanan produk atau perkhidmatan kewangan melalui Google Ads (“Pemohon” atau “anda”).
GAMBARAN KESELURUHAN
G2 akan mengeluarkan pengesahan perkhidmatan kewangan (“Pengesahan G2”) sekiranya kami menentukan bahawa maklumat yang diberikan dalam Permohonan mematuhi dan menepati piawaian pengesahan yang dipersetujui bersama oleh Google dan G2 (“Piawaian Pengesahan G2”). Anda juga boleh layak untuk pengecualian daripada Pengesahan G2 (setiap satu, “Pengecualian”), sekiranya G2 menentukan mengikut budi bicara mutlaknya bahawa anda memenuhi kriteria tertentu yang mungkin akan dihuraikan dalam Permohonan.
Anda mengakui bahawa permohonan bagi Pengesahan G2 atau Pengecualian adalah sepenuhnya secara sukarela. Keputusan untuk memberikan atau menolak Pengesahan G2 atau Pengecualian akan dibuat mengikut budi bicara mutlak G2 dan boleh disemak, ditolak, dibatalkan atau digantung pada bila-bila masa sahaja atas apa-apa sebab, termasuk (tanpa had): (a) untuk mencerminkan perubahan kepada Piawaian Pengesahan G2 atau dasar Google Ads; (b) untuk mematuhi undang-undang, peraturan atau arahan yang berkenaan; atau (c) untuk mencegah penipuan, penyalahgunaan atau kemudaratan lain.
PERNYATAAN DAN JAMINAN
Anda dengan ini menyatakan dan menjamin bahawa maklumat yang anda berikan dalam Permohonan dan dalam sebarang komunikasi berkaitan kepada G2 adalah benar, tepat dan lengkap, dan anda bersetuju untuk memaklumkan G2 dengan serta-merta sekiranya anda menyedari sebarang perubahan atau ketidaktepatan berhubung maklumat yang dimasukkan dalam Permohonan. Sebarang penentuan Pengesahan G2 atau Pengecualian yang dibuat berdasarkan maklumat palsu, tidak tepat, tidak lengkap atau mengelirukan yang dimasukkan dalam Permohonan anda boleh disemak, digantung, dibalikkan, dibatalkan atau ditolak serta-merta oleh G2 mengikut budi bicara mutlak pihak G2.
Anda seterusnya menyatakan dan menjamin bahawa (a) anda dan aktiviti perniagaan anda mematuhi sepenuhnya semua undang-undang dan peraturan yang berkenaan; (b) anda mempunyai lesen, kebenaran, persetujuan dan kelulusan kerajaan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti perniagaan anda; dan (c) anda mempunyai kuasa dan keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakan dan terikat dengan kewajipan di bawah terma dan syarat ini.
PENAFIAN
Pemohon memahami, bersetuju dan mengakui bahawa (a) G2 bukanlah pihak berkuasa kawal selia atau agensi kerajaan; dan (b) status Pengesahan G2 atau Pengecualian bukanlah, dan tidak boleh diterangkan atau dianggap sebagai, suatu jaminan pematuhan sepenuhnya, sebahagian atau berterusan terhadap (i) undang-undang dan peraturan yang berkenaan, (ii) mana-mana piawaian pensijilan atau akreditasi, atau (iii) mana-mana dasar Google Ads, termasuk (tanpa had) Piawaian Pengesahan G2.
Anda dengan ini memahami, bersetuju dan mengakui bahawa Pengesahan G2 atau Pengecualian tidak memberikan sebarang hak atau kewajipan untuk mengiklankan dengan Google atau mana-mana platformnya. Walau apa pun, status Pengesahan G2 atau Pengecualian anda, penentuan muktamad sama ada anda dibenarkan untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan kewangan akan dibuat oleh pihak Google mengikut budi bicara mutlaknya.
Anda memahami, bersetuju dan mengakui bahawa G2 tidak akan menerima sebarang tanggungjawab dan tidak akan menanggung terhadap sebarang kerosakan sebenar atau prospektif, kerugian, kewajipan, penalti, tuntutan, permintaan, tindakan, litigasi, penghakiman, penyiasatan, saman, pengeluaran, kos (termasuk kos penyelesaian dan/atau yuran guaman dan perbelanjaan) atau prosiding yang secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan atau timbul daripada atau berhubung dengan atau disebabkan oleh Pengesahan G2 atau Pengecualian atau sebarang penentuan yang dibuat dan/atau tindakan yang diambil atau tidak diambil oleh Google.
SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH PIHAK UNDANG-UNDANG YANG BERKENAAN, G2 MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN PENGESAHAN G2 “SEADANYA” TANPA SEBARANG JAMINAN NYATA ATAU TERSIRAT TERMASUK JAMINAN TERSIRAT KEBOLEHDAGANGAN, KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU, HAK MILIK DAN KETIDAKPELANGGARAN, SERTA SEMUA JAMINAN YANG TIMBUL DARIPADA PERJALANAN URUS NIAGA, PENGGUNAAN ATAU AMALAN PERDAGANGAN. TANPA MENGEHADKAN PERKARA DI ATAS, G2 TIDAK AKAN MEMBERIKAN SEBARANG JAMINAN BAHAWA PERMOHONAN ANDA DAN PENGESAHAN G2 ATAU MANA-MANA PENGECUALIAN AKAN MEMENUHI KEPERLUAN ANDA, MENCAPAI HASIL YANG ANDA INGINKAN ATAU BEBAS DARIPADA RALAT. G2 TIDAK AKAN MENJAMIN KETEPATAN ATAU KECUKUPAN MANA-MANA PENGESAHAN G2 ATAU PENGECUALIAN UNTUK APA-APA TUJUAN SEKALIPUN.
KERAHSIAAN
“Maklumat Sulit” bermaksud sebarang maklumat atau data yang didedahkan oleh sama ada G2 atau Pemohon (“Pihak Pendedah”) kepada, masing-masing, Pemohon atau G2 (“Pihak Penerima”) yang secara munasabah sepatutnya difahami sebagai sulit berdasarkan sifat maklumat tersebut. Bagi mengelakkan sebarang keraguan, Maklumat Sulit tidak termasuk sebarang maklumat yang (a) berada dalam domain awam tanpa kesalahan Pihak Penerima; (b) telah diketahui secara sah oleh Pihak Penerima, tanpa sekatan, sebelum pendedahan oleh Pihak Pendedah; (c) telah didedahkan secara sah kepada Pihak Penerima, tanpa sekatan, oleh pihak lain yang mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian; atau (d) dibangunkan secara bebas oleh Pihak Penerima tanpa penggunaan ataupun rujukan kepada Maklumat Sulit.
Pihak Penerima hendaklah melindungi Maklumat Sulit Pihak Pendedah yang diterima atau sebaliknya terdedah kepadanya dalam perjalanan melaksanakan haknya atau memenuhi kewajipannya di bawah terma dan syarat ini, dan hendaklah menggunakan tahap penjagaan yang sama untuk melindungi Maklumat Sulit Pihak Pendedah sebagaimana yang digunakan untuk melindungi maklumatnya sendiri yang bersifat serupa, tetapi dalam apapun jua keadaan tidak kurang daripada tahap penjagaan yang munasabah. Pihak Penerima hendaklah menggunakan Maklumat Sulit ini hanya bagi tujuan untuk memenuhi kewajipannya atau melaksanakan haknya di bawah terma dan syarat ini dan berhubung dengan Pengesahan G2, serta sebagaimana yang dinyatakan dalam Dasar Privasi G2. Pihak Penerima tidak boleh sama sekali mendedahkan sebarang Maklumat Sulit Pihak Pendedah kepada mana-mana pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Pendedah; dengan syarat bahawa Pihak Penerima boleh mendedahkan Maklumat Sulit tersebut (i) dalam mana-mana prosiding undang-undang, kehakiman, pentadbiran atau proses mandatori lain atau sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang atau peraturan yang berkenaan (dalam hal ini Pihak Penerima bersetuju untuk memaklumkan Pihak Pendedah dengan segera terlebih dahulu, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang atau peraturan); (ii) atas permintaan atau tuntutan mana-mana pihak berkuasa kawal selia yang mempunyai bidang kuasa ke atas Pihak Penerima (dalam hal ini Pihak Penerima bersetuju untuk memaklumkan Pihak Pendedah dengan segera terlebih dahulu, setakat yang dibenarkan secara sah untuk berbuat demikian); dan (iii) kepada pekerja Pihak Penerima berdasarkan keperluan untuk mengetahui dan secara sulit. Pihak Penerima hendaklah mengarahkan setiap pekerja tersebut untuk terikat dengan syarat-syarat terma dan syarat ini setakat yang sama seolah-olah pekerja tersebut adalah pihak kepadanya, dan Pihak Penerima hendaklah bertanggungjawab dan menanggung liabiliti terhadap sebarang pelanggaran peruntukan kerahsiaan yang dinyatakan dalam terma dan syarat ini oleh pekerja tersebut. Perenggan ini tidak dengan apa jua cara mengehadkan kewajipan yang dinyatakan dalam Dasar Privasi G2.
HARTA INTELEK
Anda menyatakan dan menjamin bahawa sebarang maklumat yang diberikan kepada G2 tidak melanggar mana-mana dan semua hak cipta, tanda dagangan, tanda perkhidmatan, rahsia perdagangan, pengetahuan teknikal dan hak-hak lain yang bersifat hak harta intelek (dalam setiap kes sama ada berdaftar atau tidak berdaftar) milik pihak ketiga serta semua permohonan berkaitan dengannya, di mana-mana sahaja di dunia yang wujud pada masa kini atau pada masa hadapan. G2 mengekalkan semua hak harta intelek sedia adalah milik mutlaknya, dan tiada hak milik atau lesen terhadap mana-mana harta intelek G2 akan diberikan kepada anda di bawah terma dan syarat ini atau berhubung dengan Pengesahan G2.
Dengan ini anda mengakui bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh G2 adalah tidak eksklusif, dan tiada apa-apa dalam terma dan syarat ini yang akan menghalang G2 daripada menyediakan perkhidmatan yang sama atau serupa kepada pihak yang lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pesaing Pemohon.
HAD LIABILITI
Setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, sama ada G2 mahupun sekutunya tidak akan mempunyai sebarang liabiliti terhadap kerosakan tidak langsung, sampingan, khas, punitif, teladan atau berbangkit atau sebarang kerugian ekonomi, kerosakan, kos atau perbelanjaan dalam apa jua bentuk dan walau bagaimanapun disebabkan, termasuk tanpa had kehilangan data, pengeluaran, keuntungan, data perniagaan, masa operasi, muhibah, kontrak, hasil atau penjimatan yang dijangkakan (dalam setiap kes sama ada secara langsung atau tidak langsung) yang timbul daripada atau berhubung dengan Pengesahan G2 dan terma dan syarat ini, tanpa mengira sama ada kerosakan tersebut boleh diramalkan atau dicegah oleh G2 dan walaupun G2 telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kemungkinan kerosakan sedemikian. Pemohon bersetuju bahawa terma-terma dalam perenggan ini adalah mewakili suatu peruntukan risiko yang sangat munasabah.
GANTI RUGI
Pemohon bersetuju untuk menanggung rugi dan melindungi G2 dan sekutunya serta pekerja, pengarah dan pegawai masing-masing (secara kolektif, “Pihak Yang Diberi Ganti Rugi G2”) daripada dan terhadap sebarang kerosakan, kerugian, kewajipan, penalti, tuntutan, permintaan, tindakan, litigasi, penghakiman, penyiasatan, yuran atau kos (termasuk yuran atau kos munasabah peguam luar), saman, pengeluaran dan kos oleh mana-mana pihak ketiga (termasuk, tanpa had, mana-mana pihak berkuasa atau agensi kerajaan) yang timbul daripada atau berkaitan dengan: (a) sebarang pelanggaran terma dan syarat ini oleh Pemohon; atau (b) penipuan, kecuaian, peninggalan, salah laku sengaja atau perbuatan yang menyalahi undang-undang oleh Pemohon, kakitangannya, ejennya, subkontraktornya atau kakitangan ejen atau subkontraktornya berhubung dengan Permohonan dan Pengesahan G2.
UNDANG-UNDANG YANG MENTADBIR
Kesahan, tafsiran, penguatkuasaan dan kesan terma dan syarat ini serta Pengesahan G2 hendaklah ditafsirkan dan dikuatkuasakan mengikut undang-undang negeri New York, tanpa merujuk kepada peraturan percanggahan undang-undangnya. Dengan ini dipersetujui bahawa sebarang tindakan, saman atau prosiding yang timbul daripada atau berasaskan terma dan syarat ini serta Pengesahan G2 hendaklah dibawa di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York atau mana-mana mahkamah negeri New York yang mempunyai bidang kuasa yang cekap yang terletak di daerah tersebut. Anda (a) mengetepikan, setakat maksimum yang dibenarkan secara sah dan berkesan, sebarang bantahan yang anda kini atau selepas ini mungkin ada terhadap penetapan tempat mana-mana saman, tindakan atau prosiding yang timbul daripada atau berkaitan dengan terma dan syarat ini serta Pengesahan G2 di mana-mana mahkamah negeri New York atau mana-mana mahkamah persekutuan tersebut; (b) mengenepikan, setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, pembelaan forum yang tidak sesuai terhadap pengekalan mana-mana saman, tindakan atau prosiding sedemikian di mana-mana mahkamah tersebut; dan (c) bersetuju bahawa penghakiman muktamad dalam mana-mana saman, tindakan atau prosiding sedemikian adalah muktamad dan boleh dikuatkuasakan di bidang kuasa lain melalui tindakan ke atas penghakiman tersebut atau dengan apa-apa cara lain yang diperuntukkan oleh undang-undang. ANDA DENGAN INI TIDAK BOLEH MENARIK BALIK, MENGENEPIKAN HAK UNTUK PERBICARAAN OLEH JURI DALAM MANA-MANA TINDAKAN, PROSIDING, TUNTUTAN ATAU TUNTUTAN BALAS YANG DIBAWA OLEH ATAU BAGI PIHAK DAN MANA-MANA PIHAK YANG BERKAITAN DENGAN ATAU TIMBUL DARIPADA TERMA DAN SYARAT INI SERTA PENGESAHAN G2.
PIHAK BEBAS
Tiada apa-apa dalam terma dan syarat ini yang akan membentuk atau dianggap sebagai suatu perkongsian, agensi atau usaha sama antara G2 dan anda atau membentuk atau dianggap sebagai mana-mana pihak sebagai ejen kepada pihak yang lain bagi apa jua tujuan, dan sama ada G2 mahupun Pemohon tidak akan mempunyai sebarang kuasa atau autoriti untuk mengikat pihak yang lain atau untuk membuat kontrak atas nama atau mewujudkan liabiliti terhadap pihak yang lain. Terma dan syarat ini terpakai hanya kepada anda dan G2 sahaja, dan tidak sama sekali mewujudkan sebarang hak undang-undang kepada mana-mana pihak ketiga.
FORCE MAJEURE
Dalam apa jua keadaan, pihak G2 tidak akan sama sekali akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan, atau bertanggungjawab kepada Pemohon atau dianggap telah ingkar atau melanggar terma dan syarat ini bagi sebarang kegagalan atau kelewatan dalam memenuhi atau melaksanakan mana-mana terma terma dan syarat ini, apabila dan setakat kegagalan atau kelewatan tersebut disebabkan oleh sebarang keadaan di luar kawalan munasabah G2 (setiap satu, “Peristiwa Force Majeure”), termasuk (a) bencana alam; (b) banjir, kebakaran, gempa bumi, wabak atau letupan; (c) peperangan, pencerobohan, permusuhan (sama ada peperangan diisytiharkan atau tidak), ancaman atau perbuatan pengganas, rusuhan atau kekacauan awam lain; (d) perintah, undang-undang atau tindakan kerajaan; (e) embargo atau sekatan yang berkuat kuasa pada atau selepas tarikh terma dan syarat ini; (f) kecemasan kebangsaan atau serantau; (g) mogok, pemberhentian kerja atau perlambatan kerja, atau gangguan perindustrian lain; dan (h) kekurangan bekalan kuasa atau kemudahan pengangkutan yang mencukupi.
PELBAGAI
G2 berhak untuk mengubah atau mengemas kini terma dan syarat ini pada bila-bila masa sahaja, tanpa pemberian notis terlebih dahulu. Sebagai syarat status Pengesahan G2 atau Pengecualian anda, anda mempunyai kewajipan berterusan untuk mematuhi terma dan syarat ini, termasuk sebarang mengemas kini kepadanya.
Terma dan syarat terkini boleh didapati di laman sesawang kami di https://g2risksolutions.com/financial-services-terms-and-conditions/.
Terma dan syarat ini akan terpakai selagi anda mengekalkan status Pengesahan G2 atau Pengecualian anda.